DUA PENALTI CHINA KECEWAKAN SKUAD HARIMAU MUDA DALAM AKSI PEMANAS BADAN DI DOHA

Kredit : FAM
05/04/2024 11:06 AM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Nasib tidak menyebelahi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan selepas tumbang 1-2 kepada China pada perlawanan persahabatan antarabangsa tertutup di Universiti Qatar, Doha, malam tadi.

Pada pertembungan itu, China memecah kebuntuan gol selepas Aifeierding Aisikaer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-26 sebelum skuad Harimau Muda bimbingan Juan Torres Garrido bangkit mengikat kedudukan menerusi Fergus Tierney pada minit ke-61.

Namun, tuah sekali lagi memihak China apabila dihadiahkan sepakan penalti yang menyaksikan Aisikaer tenang menyumbat gol peribadi keduanya pada minit ke-85 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.

Sebagai rekod, ini kekalahan kedua dicatat skuad Harimau Muda dalam tiga aksi persahabatan antarabangsa bertemu skuad B-23 China sejak tahun lepas setelah menang 1-0 dan tewas 1-2 dalam pertembungan di Shanghai, Disember lepas.

Skuad Harimau Muda yang berada dalam rangka persiapan menghadapi saingan Piala Asia B-23 di Qatar dari 15 April sehingga 3 Mei ini, akan bermain aksi pemanas badan terakhir menentang pasukan tuan rumah dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tertutup di sana, Ahad ini.

Pada kempen Piala Asia B-23, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April) dengan misi untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris Mei ini.

-- BERNAMA