KETIADAAN PEMAIN TONGGAK BERI IMPAK KEPADA PERSIAPAN SKUAD B-23 - SYAHIR

Muhamad Syahir Bashah (File photo)
24/03/2024 01:50 PM

PETALING JAYA, 24 Mac (Bernama) -- Pemain tengah skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara Syahir Bashah menyifatkan ketiadaan beberapa tonggak utama memberi impak terhadap persiapan menjelang saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar.

Ketiadaan pemain iaitu Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Nooa Laine dan Harith Haiqal Adam Afkar dirasai berikutan terlibat dalam skuad senior negara untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

“Ia beri kesan yang besar sebab mereka ini merupakan pemain tonggak untuk pasukan B-23. Tapi bagi saya semua pemain beri yang terbaik pada perlawanan menentang India (perlawanan persahabatan) tempoh hari.

“Mereka yang lain berhak dapat peluang masing-masing (kesebelasan utama) kerana telah beri yang terbaik,” katanya selepas ditemui pada sesi latihan skuad B-23 di sini semalam.

Pemain Selangor FC itu percaya ketiadaan nama-nama berkenaan buat sementara waktu perlu dimanfaatkan sepenuhnya pemain lain untuk memikat hati pengendali skuad Juan Torres Garrido, sekali gus diturunkan selaku kesebelasan utama.

Harimau Muda akan menghadapi India dalam satu lagi aksi persahabatan, selain China dan Qatar di Doha nanti sebagai persiapan sebelum ke saingan Piala Asia B-23 itu.

Jumaat lepas, Harimau Muda berhasil merakamkan kemenangan 2-1 menentang India pada aksi persahabatan pertama mereka.

Kejohanan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Doha bakal membuka tirai pada 15 April hingga 3 Mei ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan memulakan saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti dengan Vietnam 20 April dan Kuwait 23 April.

-- BERNAMA