HARIMAU MUDA ATASI INDIA 2-1

Credit: FB - Football Association of Malaysia (FAM)
23/03/2024 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan menundukkan India 2-1 pada aksi persahabatan tertutup di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido membuka jaringan menerusi T. Saravanan pada minit ke-33, sebelum Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar menggandakan jaringan pada minit ke-48.

Skuad B-23 India, kemudian merapatkan jurang menerusi jaringan Chingangbam Shivaldo Singh pada minit ke-77.

Pasukan negara dijadualkan kembali bertemu B-23 India dalam satu lagi aksi persahabatan pada Isnin depan, sebelum berlepas ke Doha, Qatar untuk menghadapi Piala Asia B-23 bermula 15 April hingga 3 Mei ini, yang juga merupakan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Di Doha, skuad negara akan meneruskan aksi pemanas badan menentang China pada 3 April, Qatar (6 atau 7 April) dan satu aksi yang belum diputuskan 10 atau 11 April. 

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dan hanya dua pasukan terbaik kumpulan mara ke suku akhir saingan peringkat Asia itu.

-- BERNAMA