AFC UMUM JARINGAN "MICKEY" GOL TERBAIK PIALA ASIA 2023

26/02/2024 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Jaringan menarik pemain Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim dinobatkan sebagai Gol Terbaik Kejohanan bagi Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar dari  12 Jan hingga 10 Feb lepas.

Keputusan itu diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi platform media sosialnya pada hari ini, selepas undian oleh peminat pada laman sesawang rasminya,  https://www.the-afc.com berakhir semalam.

Muhammad Faisal, 26, yang dikenali dengan julukan “Mickey” dalam kalangan peminat, menjaringkan gol berkenaan ketika aksi menentang Korea Selatan pada 25 Jan lepas, apabila bijak mengelirukan beberapa pemain pertahanan untuk mengikat skuad Taegeuk Warriors 3-3 pada aksi peringkat kumpulan.

AFC pada Rabu lepas, mengumumkan undian bagi lapan gol daripada 132 gol dijaringkan dalam 51 perlawanan sepanjang saingan Piala Asia kali ini.

Antara cabaran yang berjaya diketepikan oleh pemain sayap Selangor FC itu adalah jaringan pemain Jepun Keito Nakamura ketika menentang Vietnam (14 Jan), pemain Arab Saudi Abdulrahman Ghareeb semasa menentang Oman (16 Jan), pemain tuan rumah Qatar Hassan Al Haydos dalam aksi menentang China (22 Jan) dan pemain Thailand Supachok Sarachat dalam perlawanan menentang Uzbekistan (30 Jan).

Jaringan gol lain membabitkan pemain Jordan, Mousa Al Tamari semasa menentang Korea Selatan (6 Feb), pemain Korea Selatan Son Heung-min ketika menentang Australia (2 Feb) dan pemain Iran Sardar Azmoun dalam aksi menentang Qatar (7 Feb).

Sebelum undian ditutup semalam, Muhammad Faisal yang berasal dari Pulau Pinang, mendapat sebanyak 85 peratus daripada keseluruhan undian.

-- BERNAMA